pengikut boodark boodark...

Saturday, October 8, 2011

"jenazah muntahkan ulat dan najis ketika dimandikan"


artikel nie ijan terbaca dalam sebuah blog. harap ianya menjadi iktibar.



Sekadar gambar hiasan.




  Saya telah terlibat dalam pengurusan jenazah lebih dari 20 tahun. Pelbagai pengalaman telah saya lalui kerana dalam tempoh itu , macam-macam jenis mayat saya uruskan. Ada yang meninggal dunia akibat kemalangan, sakit tua, sakit jantung , bunuh diri dan sebagainya.

  Bagaimanapun, pengalaman menguruskan satu jenazah di sebuah tempat di sempadan Selangor dan Wilayah Persekutuan beberapa tahun yang lalu mendedahkan saya pada satu kes yang cukup 'istimewa'. Sepanjang saya menguruskan jenazah , inilah kali pertama saya bertemu dengan satu jenazah yang cukup aneh, menyedihkan, menakutkan dan sekali gus memberikan banyak iktibar. 

  Peristiwa itu berlaku dua hari lagi sebelum pilihan raya di Serkam, Melaka. Nama tempat dan nama orang itu tidak dapatlah saya nyatakan di sini. Ia terjadi secara kebetulan ketika saya diminta oleh anak Allahyarham  menguruskan jenazah bapanya.

  Pada hari itu, saya pergi ke rumah seorang sahabat untuk mengubatkan mata ibunya bagi yang kali terakhir. Niat saya ialah supaya mata ibu tadi sembuh dan boleh baca Al-Quran. 

  Tapi bila hendak balik, anak Allahyarham datang dan menemui sahabat saya tadi dan bertanya sama ada saya boleh menguruskan jenazah atau tidak. Kawan saya kata , saya tidak tahulah ,tapi cuba tanya saya sendiri. Tapi kawan saya kata dua bulan yang lepas saya baru sahaja mengadakan kursus pengurusan jenazah di tempat itu.

  Anak Allahyarham datang menemui saya. Saya bersetuju kerana jenazah tidak elok dibiarkan lama-lama. Saya pun pergi ke rumahnya.
Gambar hiasan sahaja

   Tapi bila saya masuk ke rumah Allahyarham, saya dapati bau jenazah itu sangat berlainan. Baunya cukup pelik dan sangat busuk. Saya telah menguruskan banyak jenazah tapi saya tidak pernah bertemu dengan mayat sebusuk ini.

  Bila saya tengok wajah Allahyarham , sekali lagi hati saya tersentuh. Saya tengok wajahnya seperti dirundung oleh macam-macam perasaan - takut, cemas , kesal dan macam - macam lagi. Wajahnya seperti tidak mendapat nur daripada Allah. 

  Kemudian saya pun ambil kain kapan yang dibeli oleh anak Allahyarham dan saya potongkan. Secara kebetulan pula, disitu ada dua orang yang telah mengikuti kurusu pengurusan jenazah yang pernah saya jalankan . Saya ajak mereka membantu saya dan mereka bersetuju. 

  Tetapi semasa memandikan mayat itu, peristiwa pertama berlaku. Untuk makluman pembaca, apabila memandikan jenazah, badan mayat itu perlu dibangunkan sedikit dan perutnya hendaklah diurut-urut untuk memboleh kan najis keluar. 

  Maka saya pun urut-urutkan perut Allahyarham. Tapi apa yang berlaku pada hari itu sangat mengejutkan . Allah itu maha berkuasa kerana pada hari tersebut, najis tidak keluar daripada dubur mayat tadi, tapi melalui mulutnya. 

  Lain macam saja ni, fikir saya .Lalu saya ubah sedikit teknik dan posisi mayat itu dan saya urut-urut lagi perutnya. Najis tetapi keluar daripada mulutnya . Hati saya berdebar-debar . Apa yang sedang berlaku di depan saya ini?

  Telah dua kali mulut mayat ini memuntahkan najis , saya harap ia tidak berulang lagi kerana saya mahu mengurut perutnya bagi kali yang terakhir. Tiba-tiba kententuan Allah berlaku. Bila saya urut perutnya, keluarlah daripada mulut mayat itu najis bersama beberapa ekor ulat yang masih hidup. Ulat itu adalah seperti ulat najis . Warnanya putih . Dari mana datangnya ulat itu, jangan tanya saya. 

  Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung dan waktu kematiannya dengan waktu saya menguruskan cuma lima jam setengah sahaja jaraknya. Aneh , bagaimana dalam tempoh yan begitu singkat mayatnya boleh menjadi sedemikian rupa?. 
  Saya lihat wajah anak Allahyarham. Mereka seperti terkejut. Mungkin malu, terperanjat dan aib dengan apa yang berlaku pada bapa mereka. Saya tengok dua orang pembantu tadi , mereka juga terkejut dan panik. Lalu saya bacakan doa untuk mengelakkan badi mayat dan sapukan ke muka mereka . 

  Saya kata kepada mereka , "Inilah ujian Allah kepada kita." Kemudian saya minta salah seorang daripada pembantu tadi pergi panggil semua anak Allahyarham. Allahyarham pada dasarnya seorang yang beruntung kerana mempunyai tujuh orang anak, kesemuanya laki-laki. Seorang berada di luar negara dan enam lagi berada di sini. 

  Bila kesemua anak Allahyarham masuk,saya marahi mereka . Saya mengingatkan mereka bahawa tanggungjawab saya hanyalah membantu menguruskan jenazah bapa mereka , bukan menguruskan sepenuhnya tanggungjawab tersebut. Sepatutnya sebagai anak , mereklah yang lebih afdal menguruskan jenazah bapa mereka itu, bukannya tok imam, tok bilal atau tok siak.
Sekadar gambar hiasan.
  

Saya kata, mungkin satu masa dahulu ibu mereka sibuk maka Allahyarham pernah memandikan mereka. Itulah jasa dan pengorbanan seorang bapa. Tetapi saya kesal kerana dalam saat-saat begini anak-anak Allahyarham tidak langsung hendak membalas jasa bapa mereka itu. 

  Saya kemudiannya meminta izin serta bantuan mereka untuk menonggengkan mayat itu. Takdir Allah , apabila ditonggengkan sahaja mayat tersebut, tiba-tiba keluarlah ulat-ulat yang masih hidup. Hampir sebesen banyaknya. Besen itu boleh dianggarkan besar sedikit sahaja daripada penutup bilah kipas meja. 
Subhanallah.

  Suasana menjadi semakin panik. Saya terus bertenang dan berharap tidak berlaku lagi kejadian-kejadian yang lebih ganjil. Selepas itu saya mandikan semula mayat tersebut dan saya ambilkan wuduk. Saya minta anak-anaknya mengambil kain kapan.

  Saya bawa mayat ke dalam biliknya dan tidak diizinkan seorang pun melihat upacara itu kecuali waris yang terdekat sebab saya takut perkara-perkara yang lebih aib berlaku.

  Takdir Allah jua yang menentukan . Apabila mayat ini diletakkan di atas kain kapan, saya dapati kain kapan itu cukup-cukup memarasi hujung kepala dan kaki. Tidak keterlaluan kalau saya katakan ia seperti kain kapan itu tidak mahu menerima mayat tadi. 

  Tidak apalah, mungkin saya yang silap semasa memotongnya.Lalu saya ambil baki kain, saya potong dan tampung di tempat-tempat yang kurang. Memang kain kapan jenazah itu tidak berapa elok, tapi apa nak buat, itu saja yang saya boleh lakukan. Dalam masa yang sama saya berdoa kepada Allah, "Ya Allah, jangan kau hinakan jenazah ini ya Allah. Cukuplah sekadar peringatan kepada hambamu ini."

  Selepas itu saya beri taklimat tentang sembahyang jenazah . Tiga kali taklimat diberikan, yang hadir cuma 13 orang sahaja . Selepas sembahyang kan jenazah tadi , satu lagi masalah timbul, Jenazah itu tidak dapat dihantar ke tanah perkuburan kerana tidak ada kereta jenazah. Saya hubungi JAWI,JAIS, Pusat Islam,DBKL, polis dan sebagainya tapi peliknya, mereka juga tidak mempunyai kereta jenazah kerana kereta yang ada sedang digunakan. 

  Dalam keadaan itu, seorang hamba Allah muncul menawarkan bantuan. Lelaki itu meminta saya tunggu sebentar untuk membolehkan dia mengeluarkan van dari garaj rumahnya. Kemudian muncullah sebuah van, Tapi ketika dia sedang mencari tempat untuk meletakkan vannya itu di rumah Allahyarham, tiba-tiba isterinya keluar. Dengan suara yang tegas diaberkata di khalayak ramai, "Abang, saya tak benarkan kereta saya ini digunakan untuk angkat jenazah itu sebab semasa hayatnya, dia tak pernah benarkan kita naik keretanya."

  Renungkanlah, kalau tidak ada apa-apa sebab, tidak mungkin seseorang wanita yang lembut hatinya akan berkata demikian . Jadi , saya suruh tuan punya van itu bawa balik vannya.

  Selepas itu muncul pula seorang lelaki menawarkan bantuannya. Lelaki itu mendakwa dia anak murid saya. Dia meminta izin dari saya dalam 10-15 minit untuk bersihkan 'kereta'nya itu.

Dalam jangka waktu yang ditetapkan itu, muncul 'kereta' tersebut, tapi dalam keadaan basah kuyup.

'Kereta' yang dia maksudkan itu sebenarnya lori dan lori itu digunakan oleh lelaki tadi untuk menjual ayam. Renungkanlah , pernahkah kita lihat satu jenazah dibawa ke kubur dengan lori ayam ?.

  Dalam perjalanan menuju kawasan perkuburan , saya berpesan kepada dua orang pembantu tadi, supaya ahli masyarakat tidak payah bantu kami menguburkan jenazah tadi. Saya suruh mereka pergi kubur saudara-mara dan sahabat mereka, itu lebih baik. Saya tidak mahu mereka melihat apa-apa lagi peristiwa ganjil.

  Rupanya apa yang saya takutkan itu berlaku sekali lagi - takdir Allah yang terakhir , yang amat memilukan . Bila sampai saja jenazah ke kuburnya , saya perintahkan tiga orang anaknya turun ke dalam liang dan tiga orang lagi turunkan jenazah.

  Takdir Allah, apabila jasad jenazah itu mencecah sahaja ke bumi, tiba-tiba air hitam yang busuk baunya keluar dari celah-celah bumi yang pada asalnya kering. Hari itu tidak ada hujan, tapi dari mana datangnya air itu? Sukar untuk saya menjawabnya.

 Lalu saya arahkan anak Allahyarham supaya sendalkan jenazah bapa mereka dengan kemas. Saya takut nanti ia terlentang atau terlungkup, nauzubillah. Kalau mayatnya terlunkup , tak ada harapan untuk mendapat syafaat dari Nabi.

  Papan keranda diturunkan dan kami segera kambus kubur tersebut . Selepas itu kami injak-injakkan tanah supaya mampat dan bila hujan ia tidak mendap.

  Tapi sungguh menyayukan , saya perhatikan tanah yang diinjak itu menjadi becak. Saya tahu jenazah berkenaan ditenggelamkan oleh air hitam yang busuk itu. Melihat keadaan tersebut , saya arahkan anak-anak Allahyarham supaya berhenti menginjakkan tanah itu . Tinggalkan dalam suku meter, timbus dan bataskan , Ertinya, kubur itu tidak dikambus hingga ke permukaan lubangnya , tapi ia seperti kubur yang berlubang.

  Tidak cukup dengan itu , apabila saya hendak bacakan talkin , saya tengok tanah yang diinjak itu ada kesan serapan air. Masya-Allah , dalam sejarah hidup saya,inilah julung-julung kalinya peristiwa seperti itu terjadi. Melihat keadaan itu ,saya ambil keputusan untuk selesaikan pengebumian secepat mungkin . 

Sejak sekian lama terlibat dalam pengurusan jenazah, inilah mayat yang saya tidak talkinkan . Saya cuma bacakan tahlil dan doa yang paling ringkas.

  Setelah itu saya pulang ke rumah Allahyarham dan himpunkan keluarganya. Saya bertanya kepada isteri Allahyarham , apakah yang telah dilakukan oleh Allahyarham semasa hayatnya?. Apakah dia pernah menzalimi orang alim, mendapat harta secara merampas, menipu ,rasuah memakan har
ta masjid dan anak yatim?

  Isteri Allahyarham tidak dapat memberika jawapan . Memikirkan mungkin dia malu untuk memberitahu, saya tinggalkan nombor telefon rumah . Tapi sedihnya sehingga sekarang, tidak seorang pun anak Allahyarham menghubungi saya. 

  Untuk pengetahuan umum , anak Allahyarham merupakan orang yang berpendidikan tinggi hingga ada seorang yang beristeri orang Amerika,seorang dapat isteri orang Australia dan seorang lagi isterinya orang Jepun. 

  Saya bertambah sedih apabila dua orang yang membantu saya menguruskan jenazah tadi menelefon saya. Mereka kata mereka mereka menyesal membantu menguruskan jenazah Allahyarham kerana anak-anak Allahyarham telah menjadikan mereka sebagai musuh . Saya bertanya, adakah mereka menceritakan kisah itu kepada masyarkat? Mereka kata, "Tidak,".

  Peristiwa ini akan tetap saya ingat sampai bila-bila. Kepada masyarakat, tanyalah pada diri kita, adakah kita mahu peristiwa itu terjadi pada diri kita sendiri, ibu-bapa kita, anak kita atau kaum keluarga kita? Adakah kita mahu peristiwa ini berlaku lagi berulang-ulang kali dan hingga sampai satu masa nanti, masyarkat menganggap peristiwa ini sebagai perkara biasa?


sumber:disalin dari Mastika edisi Julai 2011,tajuk asal artikel "Najis dan ulat termuntah dari mulut mayat"


Read more: http://cotatua.blogspot.com/2011/10/edisi-iktibar-jenazah-muntahkan-ulat.html#ixzz1a7ONv4pN

No comments: